Perang Dunia (1914-1945) Empayar British

Perang Dunia I

Pengisytiharan perang oleh Britain pada tahun 1914 ke atas Jerman dan sekutunya Austria-Hungary dan Empayar Uthmaniyyah, juga melibatkan jajahan dan dominionnya yang membekalkan sumber ketenteraan, kewangan dan sokongan semasa perang. Kebanyakan jajahan Jerman di Afrika diserang dan ditawan dengan cepat walaupun kedudukan tentera Jerman di Afrika Timur Jerman tidak dapat dikalahkan semasa perang. Di Pasifik, Australia dan New Zealand menjajah New Guinea yang dipunyai Jerman dan Samoa. Sumbangan tentera Australia dan New Zealand semasa Perang Gallipoli tahun 1915 menentang Empayar Uthmaniyyah memberi kesan yang besar ke atas semangat kebangsaan masing-masing daripada sebuah jajahan kepada negara merdeka. Pada hari ini peristiwa ini diperingati di kedua-dua negara sebagai Hari ANZAC. Begitu juga Perang Vimy Ridge diperingati di Kanada.[42] Negara-negara ini menggembeling tentera mereka sendiri tetapi di bawah struktur kawalan British, dan juga bergabung dengan tentera British. Lebih 2.5 juta orang berkhidmat dalam tentera negara Dominion termasuk 418,000 orang dari Kanada, Australia (322,000), New Zealand (124,000) dan beribu-ribu dari jajahan mahkota lain.[43]Pada tahun 1917, Kabinet Perang Imperial dibuat dengan wakil dari setiap Perdana Menteri dari negeri Dominion untuk menyelaraskan dasar. Perang Dunia I membebankan British sumber kewangan yang banyak kerana banyak sumber, wang dan aset luar British disalurkan kepada perang. Pada tahun 1914, British mempunyai £750,000,000[44] yang dilaburkan di Amerika Syarikat; dan pada 1918 kebanyakan pelaburan ini dijual untuk membayar kos perang.

Tempoh antara perang

Konflik semasa Perang Dunia I mengancam kestabilan ekonomi yang dicapai sebelum tahun 1914,[45] juga menghasilkan veteran perang yang kecewa yang mengundang pemberontakan politik.[46] David Lloyd George menyebut bahawa segala-galanya mengenai Britain dipersoalkan daripada aspek politik, sosial dan ekonomi.[47] dan ketidakyakinan tentang empayarnya mula menjalar di dalam Britain sendiri.[48]

Britain bagaimanapun mencapai tahap kemuncak dalam tempoh ini dengan peluasan 1.8 km persegi dan 13 juta penduduk baru ditambah ke dalam empayar di bawah terma Persetiaan Versailles.[49] Jajahan yang diambil daripada Jerman dan kerajaan Uthmaniyyah diagihkan kepada Kuasa Perikatan. Britain mengambil Mandat British Palestin, Jordan, Iraq dan sebahagian daripada Cameroon dan Togo, dan Tanganyika. Negara-negara Dominion juga mendapat habuan: Namibia kepada Kesatuan Afrika Selatan, Australia mendapat New Guinea dan Samoa Barat untuk New Zealand. Nauru pula dijadikan mandat bersama dua negara Pasifik Dominion dan Britain.[50] Ini merupakan fasa terakhir pembinaan empayar dan terdapat mereka yang mula mempersoalkan status mereka dalam empayar.[51]

Perang Dunia I menyebabkan pelaksaan untuk pemerintahan sendiri orang Irish tertunda yang membawa kepada Kebangkitan Easter 1916, dan Sinn Féin menang majoriti kerusi bagi orang Irish di Westminster pada pilihan raya umum 1918. Perisytiharan kemerdekaan dan Perang Inggeris-Ireland berakhir pada tahun 1921 dengan keputusan seri dan membawa kepada Perjanjian Inggeris-Ireland. Dua puluh enam daerah di selatan kemudian mendirikan Negara Bebas Ireland, yang merupakan Dominion di dalam Empayar British, bebas tetapi secara perlembagaannya masih bergantung pada kerajaan Mahkota British,[52] sementara 6 lagi daerah di wilayah Ireland Utara yang didirikan pada tahun 1920 [53] kekal dalam United Kingdom.

Jallianwalla Bagh pada tahun 1919, beberapa bulan selepas pembunuhan beramai-ramai Amritsar.

Perjuangan kemerdekaan yang sama berlaku di India apabila Akta Kerajaan India 1919 gagal untuk memenuhi tuntutan kemerdekaan.[54] Kebimbangan tentang komunis dan komplot asing berikutan Konspirasi Ghadar menyebabkan sekatan semasa perang diperbaharui oleh Akta Rowlatt yang menyebabkan ketegangan,[55] terutamanya di Punjab di mana tindakan-tindakan penindasan menyebabkan meletusnya pembunuhan beramai-ramai Amritsar. Di Britain, tindakan ini dilihat sebagai menyelamatkan India daripada anarki, tetapi ramai juga termasuk Churchill, yang melihatnya sebagai tindakan tidak berperi kemanusiaan.[55] Keadaan berterusan sehingga bulan Mac 1922 berikutan insiden Chauri Chaura tetapi ketidakpuasan hari berterusan untuk 25 tahun berikutnya.

Keupayaan Dominion menetapkan dasar luar mereka sendiri diiktiraf berikutan Krisis Chanak pada tahun 1922 selepas Britain mengisytiharkan perang ke atas Turki tanpa meminta nasihat mereka dahulu. Selepas menerima tekanan daripada Ireland dan Afrika Selatan, Persidangan Imperial mengisytiharkan Dominion sebagai komuniti bebas dalam empayar yang sama taraf dalam Komanwel Negara-negara British. [56] Perisytiharan ini diberi pengertian undang-undang di bawah Statut Westminster tahun 1931.[57] Parlimen Kanada, Australia, New Zealand, Kesatuan Afrika Selatan, Negara Bebas Ireland dan Newfoundland menjadi bebas daripada kawalan British, dan mereka boleh membatalkan undang-undang British serta Britain tidak lagi boleh meluluskan undang-undang berkaitan mereka tanpa mendapat kebenaran mereka.[57]

Kekuasaan British juga melemah di lautan. Tentera Laut Mahkota mengakhiri perang dengan kapal perang yang sama seperti gabungan tentera laut lain, [58] tetapi ini kemudian berubah dengan Perjanjian Naval Washington pada tahun 1922. Walaupun Perjanjian Empat Kuasa telah ditandatangani, satu kuasa baru diwujudkan di Timur Jauh[59], Britain menerima kekuasaan Amerika Syarikat di lautan,[60] dan membatalkan Perikatan Inggeris-Jepun tahun 1902 serta membenarkan Jepun membina tentera lautnya sendiri.

Imbangan kuasa juga berubah di Eropah. Perang menyebabkan hutang yang besar dan menyebabkan amat sukar untuk memperkenalkan kembali standard emas.[61] faktor ini dan faktor lain membawa kepada Zaman Kemelesetan pada tahun 1929. Walaupun kesannya tidak begitu ketara kepada Britain, sesetengah bahagian di empayar menerima kesan teruk.[62] British menjadi lebih bergantung pada pasaran dan ekonomi empayarnya pada masa hubungan politik dengan jajahannya menjadi lemah.[63] Di Eropah, kemelesetan ekonomi pada umumnya amat buruk dan membantu parti politik berhaluan kanan berkuasa.[61] Pengukuhan ketenteraan oleh Jerman dan Itali mengancam status quo tetapi di Britain, perbelanjaan pertahanan tidak menjadi keutaamaan sehingga Perang Dunia Kedua tidak boleh dielakkan.[64]

Perang Dunia II

Perisytiharan perang British ke atas Jerman Nazi pada bulan September 1939 termasuk Jajahan Mahkota dan India tetapi tidak secara otomatik bagi Dominion. Kanada, Afrika Selatan, Australia dan New Zealand kemudian mengisytiharkan perang ke atas Jerman tetapi Negara Bebas Ireland memilih untuk bersikap neutral sepanjang perang. [65] Selepas Kejatuhan Perancis pada tahun 1940, Britain dan empayarnya keseorangan dalam menentang Jerman dan situasinya dalam bahaya. Perdana Menteri British ketika itu, Winston Churchill berunding untuk wang dan senjata daripada Amerika Syarikat tetapi A.S. memilih bersikap neutral. Churchill dan Presiden Franklin D. Roosevelt menandatangani Piagam Atlantik pada tahun 1941 yang menyatakan hak-hak masyarakat untuk memilih kerajaan mereka mesti dihormati. Perkataan ini samar-samar sama ada merujuk kepada negara Eropah yang dijajah Jerman, atau penduduk yang dijajah oleh kuasa Eropah, dan ia kemudian diinterpretasikan berlainan oleh British, Amerika dan pergerakan kebangsaan.[66]

Pada bulan Disember 1941, Jepun melancarkan serangan ke atas Tanah Melayu dan pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Pearl Harbor dan Hong Kong. Jepun bertambah kuat sebagai kuasa imperial di Timur Jauh semenjak kekalahannya kepada China dalam Perang China-Jepun Pertama pada tahun 1895, [67] mengimpikan Asia Timur Raya di bawah pimpinan Jepun. Pada tahun 1902, Jepun dan Britain menandatangani Perikatan Inggeris-Jepun di mana Britain memberi kebebasan kepada Jepun untuk mengawal Pasifik. [68] Perikatan ini bagaimanapun musnah pada tahun 1922 selepas Persidangan Naval Washington apabila Britain mengambil keputusan memihak kepada Amerika Syarikat.[60]

Serangan Jepun ke atas pemilikan British dan Amerika di Pasifik memberi kesan segera dan jangka panjang ke atas Britain dan empayarnya. Reaksi Churchill kepada penglibatan Amerika Syarikat dalam perang akan memberi kemenangan kepada Britain dan menyelamatan empayarnya,[69] tetapi cara Britain yang cepat menyerah kalah memberi kesan buruk kepada kedudukan dan air muka Britain sebagai kuasa imperial.[70][71] Kejatuhan Singapura adalah yang paling memalukan kerana Singapura dianggap sebagai kubu kuat British di Timur yang disamakan dengan Gibraltar.[72] Menyedari hakikat Britain sendiri tidak dapat mempertahankan empayarnya, Australia dan New Zealand yang merasa terancam oleh tentera Jepun, menubuhkan pakatan pertahanan dengan Amerika Syarikat yang menyaksikan tertubuhnya Pakatan ANZUS di antara tiga negara tersebut tidak termasuk Britain.[66]